Allahuakbar bergema ketika paderi keluar mahkamah

Orang ramai yang berkumpul di Mahkamah Persekutuan di Kuching hari ini melaungkan kalimah Allahuakbar kepada Uskup Agung Gereja Roman Katolik Kuching Simon Poh.

Tindakan itu diambil sejurus selepas Poh melangkah keluar daripada mahkamah selepas tamat sidang kes panas berkaitan permohonan empat pihak yang mahu membatalkan status Islam mereka.

Bukan sahaja bertakbir, terdapat juga umat Islam yang mengerumuni ahli agama yang berbaju paderi itu.

Pasukan polis dan sebahagian hadirin membantu mengawal keadaan.

Mahkamah Persekutuan memutuskan empat orang yang ingin membatalkan status Islam mereka tidak boleh melakukannya melalui mahkamah sivil.

Panel lima anggota itu sebulat suara memutuskan mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa untuk memutuskan kes-kes murtad.

Empat pemohon itu – seorang dilahirkan sebagai Islam dan tiga mualaf – memohon perintah mahkamah untuk meninggalkan Islam dan mahu agama dalam kad pengenalan mereka diubah kepada Kristian.

Polis: Tiada serangan fizikal

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching Superintenden Abang Junaidi Abang Anuar dilaporkan berkata tiada serangan fizikal dilakukan terhadap Poh, tetapi cuma sedikit kekecohan.

“Saya tidak tahu adakah Uskup Agung (Archbishop) akan membuat laporan polis atau tidak,” katanya seperti dilaporkan Utusan Borneo Online.

Sementara itu, akhbar sama melaporkan Uskup Agung Gereja Roman Katolik Simon Poh menyeru semua pihak menghormati keputusan mahkamah demi keharmonian rakyat.

“Ia adalah penghakiman dari mahkamah tertinggi dan kita ada prosedur perundangan … jangan kita benarkan emosi untuk menangani sesuatu sebaiknya terus membina keutuhan harmoni yang ada,” katanya.

Beliau juga berkata pendekatan pihak berkuasa Muslim kepada beliau semasa di mahkamah amat baik dan menolak dakwaan orang ramai berasak-asak menolaknya.

“Ia memberi kesan buruk kerana memberi andaian kita bergaduh, sedang tidak,” katanya lagi.