JAKARTA 24 Dis. – Pusat Gempa Bumi dan Tsunami di Badan Meteo­rologi, Klimatologi dan Geofisika Indonesia (BMKG) mengesahkan tsunami di Selat Sunda, kelmarin berlaku akibat aktiviti gunung berapi.

Detik News melaporkan, BMKG membuat pengesahan itu berdasarkan data yang diperoleh daripada Tentera Nasional Indonesia (TNI), me­nunjukkan terdapat endapan batuan gu­nung berapi di sekitar perairan Pantai Anyer dipercayai da­ri Gunung Berapi Anak Krakatau.

Ketua BMKG, Dwi­korita Karnawati ber­kata, data itu diperoleh selepas pasukan TNI mengadakan pemantauan dari udara di sekitar kawasan pantai tersebut.

“Beberapa gambar yang diambil oleh pasukan TNI menunjukkan terdapat endapan batu gunung berapi di sekitar perairan pantai Anyer.

“Keadaan itu secara tidak langsung mengukuhkan bukti bahawa tsunami Selat Sunda berlaku akibat aktiviti Gunung Berapi Anak Krakatau,” katanya, hari ini.

Sehubungan itu, Dwikorita menegaskan, aktiviti gunung berapi tersebut akan terus dipantau dari semasa ke semasa sebagai langkah berjaga-jaga.

Beliau juga meminta orang ramai supaya bertenang dan memaklumkan sudah ada pihak yang dipertanggungjawabkan untuk memantau aktiviti gunung berapi itu.

“Penduduk tidak perlu panik tentang Anak Krakatau kerana kami sudah maklumkan kepada pihak bertanggungjawab untuk memantau keadaan gunung berapi itu,” katanya.

Dalam pada itu, para saintis mendedahkan bahawa kejadian tanah runtuh di kawasan Gunung Berapi Anak Krakatau yang memasuki laut dilihat menjadi penyebab kepada ombak tsunami yang berlaku.

Berdasarkan beberapa imej yang diperoleh daripada satelit Sentinel-1 milik Agensi Angkasa Lepas Eropah, terdapat kesan tanah runtuh yang besar di bahagian selatan gunung berapi tersebut.

Pakar seismologi di GNS Science di Willington, New Zealand, Sam Taylor-Offord memaklumkan bahawa, apabila tanah ditolak ke dalam laut, ia memberi kesan terhadap permukaan laut dan menyebabkan pergerakan yang mencetuskan tsunami.

Katanya, Gunung Berapi Anak Krakatau meletus selama 24 minit sebelum tsunami melanda dan keadaan itu menyebabkan berlakunya tanah runtuh di gunung berapi tersebut.

Sementara itu, BMKG dan Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB) menerima kritikan daripada pengguna media sosial kerana didakwa gagal menyampaikan maklumat tepat mengenai bencana tsunami yang berlaku.

Sabtu lalu, BMKG menerusi Twitter mengumumkan bahawa berlaku fenomena ombak besar di Selat Sunda dan menafikan dakwaan berlakunya tsunami.

Tidak lama kemudian, BMKG mengumumkan bahawa tsunami benar-benar berlaku akibat letusan gunung berapi Anak Krakatau.

Seorang pengguna Twitter, @dodon_alone menegaskasn bahawa perkara itu tidak seharusnya berlaku kerana pengumuman terbabit dibuat menerusi akaun rasmi kedua-dua agensi berkenaan. – AFP/AGENSI