KUALA LUMPUR – AirAsia Group Bhd. menjual 25 buah pesawatnya kepada sebuah syarikat Amerika Syarikat, Castlelake LP dengan nilai AS$768 juta (RM3.22 bilion).

Dalam satu kenyataannya, syarikat penerbangan tambang murah itu berkata, Castlelake turut membeli empat buah pesawat baharu yang akan dihantar kepada AirAsia pada 2019.

Kesemua 29 pesawat berkenaan dari jenis Airbus A320-200ceo dan A320neo akan dipajak semula kepada AirAsia.

Jelas mereka, urusniaga tersebut merupakan satu lagi cara AirAsia untuk mencairkan aset dalam usaha syarikat tersebut melakukan transformasi kepada sebuah firma yang memberi fokus kepada pendigitalan.

Dalam kenyataan di Bursa Malaysia semalam, AirAsia berkata, anak syarikat milik penuh tidak langsungnya, Asia Aviation Capital Limited (AACL) telah memeterai perjanjian pembelian saham dengan syarikat tidak langsung Castlelake bagi melupuskan kesemua kepentingan ekuitinya dalam Merah Aviation Asset Holding Ltd.

Merah Aviation Asset merupakan pemiliki pesawat-pesawat berkenaan.

Jelasnya, kesemua hasil daripada penjualan tersebut akan digunakan untuk membayar hutang sedia ada.

Selepas penjualan kapal terbang berkenaan, nisbah hutang bersih AirAsia dijangka menurun kepada 0.24 kali ganda berbanding 0.53 ketika ini. – MalaysiaGazette