Ulama radikal Indonesia, Abu Bakar Bashir akan dipantau rapi Bahagian Counter Terrorism Bukit Aman jika beliau dibebaskan oleh kerajaan republik berkenaan, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Beliau berkata, pemantauan berkenaan perlu dibuat susulan terdapat elemen-elemen kegiatan Jemaah Islamiah (JI) di negara ini.

“Jadi proses pemantauan ini sedang berlaku agar beliau (Abu Bakar) tidak terlibat dalam usaha merekrut atau menghidupkan kembali perjuangan lampaunya berkaitan dengan JI.

“Kes JI di negara ini mempunyai kaitan dengan kegiatan beliau sebelum ini maka ada elemen-elemen berhubung kes berkenaan,” katanya selepas hadir serah terima tugas pemakaian pangkat pegawai kanan polis dan penganugerahan pingat Jasa Pahlawan Negara di Pusat Latihan Polis, di sini hari ini.

Mohamad Fuzi berkata pihaknya akan menghubungi Polis Republik Indonesia (Polri) bagi mengetahui perkembangan terkini mengenai Abu Bakar.

“Kami tidak mahu agar pembebasan beliau ini menimbulkan masalah keselamatan baharu terutamanya dari segi usaha menghidupkan JI atau lain-lain elemen ekstrem radikal berkaitan kegiatannya,” katanya.

Sebelum ini, pemerintah Indonesia sedang mengkaji semula keputusan untuk membebaskan Abu Bakar, dalang insiden pengeboman kelab malam di Bali pada tahun 2002 setelah republik itu mengumumkan minggu lepas pembebasan lebih awalnya atas dasar kemanusiaan.

Beliau dijatuhi hukuman penjara selama 15 tahun. – BERNAMA