Angka kematian akibat banjir dan tanah runtuh di wilayah Sulawesi, Indonesia terus meningkat, menjadikan jumlah terkini kepada 68 orang.

Bencana itu turut menyebabkan seramai 6,700 penduduk di 14 daerah di wilayah berkenaan dipindahkan dan ditempatkan di pusat perlindungan sementara di sekolah, khemah serta masjid.

Menurut Channel NewsAsia, jumlah mangsa banjir juga meningkat dua kali ganda sejak semalam, selepas pegawai pengurusan bencana berjaya mendapatkan akses ke daerah yang teruk terjejas, sebelum memperbaharui angka terkini.

Difahamkan, enam mangsa masih dilaporkan hilang, dan daerah Gowa adalah kawasan yang mempunyai angka korban tertinggi iaitu 45 orang.

Bagaimanapun, banyak mangsa telah beransur pulang ke kediaman masing-masing selepas keadaan cuaca tidak lagi buruk seperti sebelumnya dan air mula surut yang membolehkan akses kepada pengangkutan kembali seperti biasa.

Insiden tanah runtuh dan banjir adalah bencana biasa yang berlaku di Indonesia, terutama ketika musim tengkujuh antara bulan Oktober dan April.

Pada Oktober lalu, banjir kilat dan tanah runtuh turut mengorbankan sekurang-kurangnya 22 orang di beberapa daerah di pulau Sumatra.- Agensi