Sekumpulan penyerang melepaskan tembakan ke arah perarakan tentera Iran di bandar Ahvaz hari ini, dan mengorbankan 11 nyawa, termasuk seorang wartawan, manakala lebih 30 lagi cedera.

Laporan televisyen menyatakan, serangan mensasarkan pentas di mana pegawai Iran berkumpul untuk menyaksikan acara tahunan menyambut permulaan perang Republik Islam itu dengan Iraq sejak 1980 hingga 1988.

Timbalan Gabenor Khuzestan, Ali Hosein Hoseinzadeh, dipetik sebagai berkata angka kematian dijangka bertambah.

Video yang diedarkan media Iran menunjukkan tentera segera meniarap apabila tembakan dilepaskan ke arah mereka.

Setakat ini, tiada pihak mendakwa bertanggungjawab di atas serangan, namun Menteri Luar Iran, Mohammed Javas Zarif, menyalahkan penaja keganasan serantau, yang selalunya merujuk kepada Arab Saudi dan Israel dan Amerika Syarikat, dan berjanji akan bertindak balas. – Reuters

– Sinar Harian