BANDA ACEH: Sekurang-kurangnya 10 orang terkorban dan berpuluh-puluh yang lain mengalami kecederaan selepas telaga minyak haram terbakar di wilayah Aceh, Indonesia, menurut pihak berkuasa hari ini (25 Apr).

Tumpahan minyak menyebabkan kebakaran besar pada 1.30 pagi waktu tempatan di sebuah kawasan kediaman. Sekurang-kurangnya tiga rumah dijilat api yang masih belum dapat dikawal sejauh ini.

“Kebakaran itu masih belum dapat dipadamkan,” kata Encik Saiful, ketua daerah Ranto Peureulak di Aceh.

Sekurang-kurangnya 10 mayat sudah ditemui dan angka korban dijangka terus meningkat, menurut polis. Ia menambah bahawa para mangsa yang mengalami kecederaan sedang dirawat di hospital-hospital tempatan.

Di tempat kejadian, pasukan bomba sedang bertungkus lumus cuba memadamkan kebakaran dan mereka dibantu oleh syarikat minyak milik pemerintah, Pertamina.