Seorang bekas menteri pengangkutan telah dipenjara hampir selama enam tahun di Argentina kerana peranannya dalam satu nahas kereta api pada 2012 yang mengorbankan 51 orang, kata pegawai mahkamah kelmarin.

Julio De Vido didapati bersalah menipu kerajaan dengan menyalurkan wang daripada projek kerja raya, secara tidak langsung membawa kepada kemalangan tersebut.

Tertuduh berusia 68 tahun itu, yang menjadi menteri perancangan dengan tanggungjawab bagi pengangkutan sewaktu pentadbiran bekas presiden Cristina Kirchner pada 2007-2015, mendakwa dia adalah mangsa penindasan politik.

Dia sudah berada di penjara sebagai sebahagian daripada siasatan antirasuah yang menyeluruh.

Bencana itu berlaku pada 22 Februari 2012 apabila sebuah kereta api penumpang merempuh tembok penahan pada hujung platform di sebuah terminal di ibu negara Argentina, Buenos Aires.

Skandal itu mendorong Kirchner untuk memilik negarakan semula dan memodenkan perkhidmatan kereta api.

Kirchner, 65, dan mendiang suaminya, Nestor, yang dia ganti sebagai presiden pada 2007, disyaki menerima rasuah sebanyak jutaan dolar daripada ahli perniagaan sebagai balasan bagi kontrak kerja raya.

De Vido dan timbalannya Jose Lopez mengurus projek kerja raya kerajaan persekutuan di bawah pasangan Kirchner dan merupakan antara lebih 12 bekas pegawai kerajaan, selain 30 ahli perniagaan elit, yang dibabitkan dalam kes itu.

Mereka merupakan dua menteri yang sentiasa selamat dalam pelbagai rombakan kabinet selama 12 tahun pasangan ter-sebut memegang kuasa. — AFP