Kementerian Kesihatan Gaza mengesahkan 56 rakyat Palestin cedera ketika protes anti-pendudukan berhampiran pagar yang memisahkan Semenanjung Gaza dan wilayah yang diduduki, semalam.

Jurucakap kementerian, Ashraf al-Qedra, berkata, 24 orang yang cedera pada hari Jumaat itu ditembak oleh tentera rejim pengganas Israel.

Beliau berkata, 22 kanak-kanak dan tiga wanita antara yang tercedera dalam protes itu.

Tentera Israel dilaporkan telah membunuh sekurang-kurangnya 305 orang Palestin sejak bermulanya protes dan mencederakan hampir 18,000 orang lain, kata Kementerian Kesihatan Gaza.

Pada bulan Mac, satu misi pencarian fakta Pertubuhan Bangsa-Bangsa (PBB) mendapati pasukan Israel melakukan pelanggaran hak atas tindakan mereka terhadap penunjuk perasaan Palestin di Gaza yang mungkin membawa kepada jenayah perang.

Gaza telah berada di bawah pengepungan Israel sejak Jun 2007, yang telah menyebabkan penurunan dalam taraf hidup.

Israel juga telah melancarkan tiga perang besar melawan wilayah itu sejak 2008, membunuh ribuan warga Gaza setiap kali serangan dan menghancurkan infrastruktur wilayah itu. – Agensi