Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa lebih separuh klinik di Yaman akan ditutup menjelang akhir bulan ini, mengakibatkan risiko kesihatan terhadap wanita hamil dan kanak-kanak kecuali jika mendapat sumbangan dana yang mencukupi, lapor Reuters.

Dana Penduduk PBB (UNFPA) berkata, sebanyak 100 klinik kesihatan telah ditutup pada akhir bulan Ogos, manakala 75 lagi bakal ditutup pada bulan ini sekaligus memberi risiko kepada 650,000 pesakit wanita.

Kemudahan kesihatan berperanan penting untuk menjaga dan memantau kesihatan wanita hamil dan menyusu bayi, berikutan kekurangan zat makanan dan kebuluran akibat konflik negara itu.

Selain itu, wakil UNFPA di Yaman, Nestor Owomuhangi berkata, dianggarkan sejuta wanita hamil di Yaman kekurangan gizi.

“Kami kini berusaha memantau seramai mungkin wanita-wanita terbabit melalui pakej reproduktif kesihatan mininum, supaya tiada antara mereka yang mati sia-sia.

“Penutupan kemudahan kesihatan untuk wanita hamil ini akan memberi kesan jangka pendek, di mana sekurang-kurangnya 100,000 wanita mungkin akan mengalami komplikasi yang bakal mengancam nyawa mereka,” kata Owomuhangi.

UNFPA, yang menyokong 268 klinik di Yaman melaporkan bahawa ia hanya dapat membantu mengutip dana sebanyak AS$33 juta daripada AS$110 juta yang diperlukan untuk 2019, manakala kekurangan dana memaksa agensi kesihatan berhenti membeli peralatan dan bekalan ubat-ubatan.

Terdahulu,seorang wanita mati akibat komplikasi kehamilan dan dianggarkan wanita di Yaman bersalin hampir setiap dua jam, lapor UNFPA.

Konflik di Yaman menyebabkan hanya separuh klinik di negara itu yang masih menjalankan perkhidmatan dan memaksa ramai wanita hamil berjalan jauh mencari klinik berdekatan.

Konflik terus meningkat apabila Arab Saudi dan sekutunya melancarkan kempen serangan udara besar-besaran, yang menyebabkan lebih 70,000 terbunuh dalam krisis itu sejak 2016, menurut PBB.