Sekurang-kurangnya 10 orang maut dan ribuan rumah musnah berikutan hujan monsun di kem pelarian Rohingya yang penuh sesak di Balukhali di tenggara Bangladesh.

Jabatan Meteorologi Bangladesh berkata, daerah Cox’s Bazar – rumah kepada hampir satu juta umat Islam Rohingya yang melarikan diri dari serangan tentera di Myanmar – telah menampung sekurang-kurangnya 58.5 sentimeter (hampir dua kaki) hujan sejak 2 Julai.

Jurucakap Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM) berkata, hujan lebat menyebabkan lumpur di kem pelarian – yang kebanyakannya dibina di lereng bukit – memusnahkan kira-kira 4,889 kem buluh dan tarpaulin.

Keadaan itu turut menyebabkan lebih 200 tanah runtuh di kem-kem itu yang dibina berhampiran sempadan Myanmar, dan mengakibatkan sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh, lapor Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Pada minggu lepas sahaja, dua kanak-kanak lelaki Rohingya meninggal dunia dan 6,000 lagi ditinggalkan tanpa perlindungan kerana hujan lebat.

Jurucakap Program Makanan Dunia (WFP), Gemma Snowdon berkata, mereka terpaksa meningkatkan bantuan berikutan musim monsun.

“Setakat ini, 11,400 orang memerlukan bantuan makanan tambahan akibat hujan lebat tahun ini, berbanding 7,000 sepanjang Julai 2018,” katanya. – Agensi